Powered By Blogger

Monday, July 25, 2011

Ramadhan dan bulan kemerdekaan

Kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan dan rahmat. Allahumma Balighna Ramadhan. Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulallah saw apabila mendekati bulan yang mulia ini ( sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan). Bulan yang mulia ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang yang mengetahui akan kebesarannya dan begitu tamakkan limpahan rahmat daripada Allah SWT.

Bagaimana pula dengan bulan Ogos yang bakal menjelma. Bulan ini ditunggu kerana bulan ini penuh sejarah dan ada keramat di sebalik haribulan 30 Ogos. Walaupun tidak semulia Ramadhan namun bulan ini boleh menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, yang pasti orang Melayu tahu bagaimana untuk menghargai nilai kemerdekaan yang diperjuangkan oleh datuk nenek moyang kita dahulu kala.

Bulan kemerdekaan ini sepetutnya disambut oleh semua kaum dengan rasa rendah diri dan saling menghormati antara kaum di Malaysia. Tanpa kemerdekaan ini saya pasti negara tidak berdiri teguh seperti hari ini. Ini juga hasil daripada kebijaksanaan pemimpin negara menyatukan 3 kaum majoriti menjadi satu, saling memahami dan bersikap toleransi. Tanpa kemerdekaan ini juga kita tidak akan hidup aman damai dan pastinya Ramadhan tidak dapat disambut dengan penuh ceria. Pasti juga ibadat yang hendak dilakukan tidak akan dapat dilakukan dengan selesa, akibat negara dalam huru-hara.

Begitulah kehidupan kita yang saling menyokong dan saling memerlukan. Setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya tersendiri maka terimalah apa sahaja yang didatangkan Allah kepada kita. Dengan fikiran yang bijaksana segala apa yang ada di alam jadian Allah ini dapat dinikmati dengan penuh rahmat. Selamat menyambut kedatangan Ramadhan dan selamat menyambut bulan kemerdekaan.

Saturday, July 23, 2011

Amalan dan Kebaikan

Bismillahirrahmanirrahim...

"Kebaikan itu semuanya terhimpun dalam empat perkara:

1. Percakapan - Tiap-tiap percakapan yang tidak disertai dengan mengingati Allah adalah sia-sia.

2. Diam - Tiap-tiap diam yang tidak disertai dengan memikirkan kebesaran Allah adalah leka.

3. Pandangan - Tiap-tiap pandangan yang tidak disertai dengan pengambilan iktibar adalah lalai.

4. Gerak - Tiap-tiap gerak yang tidak disertai dengan penghambaan adalahkosong.

Semoga ALLAH SWT merahmati hamba yang telah menjadikan percakapannya sebagai dzikir, diamnya sebagai tafakkur, pandangannya sebagai iktibar, dan geraknya sebagai penghambaan, dan daripada lisan serta tangannya manusia mendapat kesejahteraan."

(Kata-Kata Hikmah Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah)

Friday, July 22, 2011

Ramadhan yang mulia

Assalamualaikum.... Ramadhan menghampiri kita, apakah persediaan kita dan apakah kelebihan bulan yang dikatakan mulia ini; antara keistimewaannya ialah:

Bagi yang telah meninggal dunia mereka akan dinaungi Ramadhan ( terlepas daripada siksa kubur)

Bulan ini penuh keberkatan

Pada malamnya ada lebih baik daripada 1000 bulan

Amalan solat sunat menyamai dengan solat fardhu

70 kali ganda barang siapa yang mengerjakan solat fardhu

Bulan sabar dengan ganjaran syurga

Bulan menambah rezeki

Bulan keampunan

Thursday, July 21, 2011

Siapa yang berpuasa

Begitu pula, binatang dan tumbuh-tumbuhan melakukan puasa demi kelangsungan hidupnya. Selama mengerami telur, ayam harus berpuasa. Demikian pula ular, berpuasa baginya untuk menjaga struktur kulitnya agar tetap keras terlindung dari sengatan matahari dan duri hingga ia tetap mampu melata di bumi.

Ulat-ulat pemakan daun pun berpuasa, jika tidak ia tak kan lagi menjadi kupu-kupu dan menyerbuk bunga-bunga. Jika berpuasa merupakan sunnah thobi’iyyah (sunnah kehidupan) sebagai langkah untuk kelangssungan hidup, mengapa manusia tidak? Lebih-lebih lagi jika kewajiban puasa diwajibkan kepada umat Islam, tentu saja memiliki filosofi dan hikmah tersendiri. Ternyata puasa bukan hanya menahan dari daripada makan dan minum sebelum subuh dan sehingga azan manghrib tanda berbuka, tetapi turut mengajar kita erti lapar dan dahaga sepertimana yang dirasai oleh masyarakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.Dengan berpuasa juga kita diajar tentang kebersamaan dan peka dengan masyarakat sekeliling terutama yang berada dalam kesusahan.

Rahsia-rahsia tersebut ternyata ada pada kalimat terakhir yang teramat singkat pada ayat 183 surah al-Baqarah. Allah swt memerintahkan: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa”. (QS. Al-Baqarah:183).

Orang bertakwa adalah orang yang sentiasa taat kepada perintah Allah SWT. Sentiasa be rendah diri, tidak sombong dan di dalam hatinya sentiasa takut kepada Allah.

Puasa dan Siapa

Ternyata bukan hanya umat Muhammad yang berpuasa. Sejarah mencatat, sebelum kedatangan Muhammad, umat Nabi yang lain diwajibkan berpuasa. Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengatakan, sejak Nabi Nuh hingga Nabi Isa puasa wajib dilakukan tiga hari setiap bulannya. Bahkan, nabi Adam alaihissalam diperintahkan untuk tidak memakan buah khuldi, yang ditafsirkan sebagai bentuk puasa pada masa itu. “Janganlah kamu mendekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim”. (Al-Baqarah: 35).

Begitu pula nabi Musa bersama kaumnya berpuasa empat puluh hari.Nabi Isa pun berpuasa. Dalam Surah Maryam dinyatakan Nabi Zakaria dan Maryam sering mengamalkan puasa. Nabi Daud alaihissalam sehari berpuasa dan sehari berbuka pada tiap tahunnya. Nabi Muhammad saw.sendirisebelumdiangkat menjadi Rasul telah mengamalkan puasa tiga hari setiap bulan dan turut mengamalkan puasa Asyura yang jatuh pada hari ke 10 bulan Muharram bersama masyarakat Quraisy yang lain.

Malah masyarakat Yahudi yang tinggal di Madinah pada masa itu turut mengamalkan puasa Asyura.

Wednesday, July 20, 2011

Ramadhan yang Indah

Assalamulaikum kepada saudaraku muslimin dan muslimat; bulan silih berganti, hari dan masa yang setia berputar telah mendekatkan kita ke bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan. Ramadhan merupakan bulan yang sangat istimewa namun tidak semua memahami falsafah yang terkandung dalam bulan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pencinta syurga.

Alhamdulillah dan syukur kepada insan yang mengetahui keindahan dan keistimewaan yang ada dalam bulan Ramadhan, tetapi saya percaya terdapat insan yang menunggu kedatangan Ramadhan sebagai syarat atau petanda Iduladha akan menjelma dan persiapan yang dilakukan bukanlah sangat untuk menerima kadatangan Ramadhan tetapi lebih kepada persediaan untuk menyambut Syawal dengan penuh gemilang. Hal ini mungkin terjadi akibat kurangnya ilmu atau mungkin pembawaan budaya hidup Islam itu kurang menjadi amalan hidup sehingga ada sedikit kejahilan dalam diri.

Apapun segala kejahilan boleh tertolak dengan ilmu. Bertanya atau membaca daripada pelbagai sumber tentang Ramadhan membawa kepada pemahaman dan melihat tentang indahnya Ramadhan seperti yang akan diperkatakan di sini nanti.

Kenapa Ramadhan? Pada bulan inilah pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu ibadah dan taqarrub ( mendekatkan diri kepada Ilahi ) terbuka luas manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelengu.

Sebulan berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi diikuti dengan mengerjakan ibadah dengan kesungguhan dan kesedaran bahawa inilah bulan mulia untuk kita bertaubat, membuang segala kekotoran yang ada dalam diri agar diri kita sentiasa dirahmati Allah.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahn kamu menjadi takwa." ( Al-Baqarah-183)

Berpuasalah diiringi dengan amalan solat 5 waktu dan solat tarawih walaupun dalam jumlah rakaat yang sedikit kemudiaan diikuti solat tahajud, taubat dan hajat selain solat tasbih dan diakhiri dengan solat witir.

Firman Allah SWT; "Dan bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu, semoha Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji". ( Surah Ai- Isra: 79).


Friday, July 15, 2011

Cantiknya Isteri

Kembali memperkatakan tentang kecantikan yang begitu subjektif sifatnya. Kecantikan pada wanita bukan hanya pada wajahnya yang jelita, atau bentuk badannya yang mengiurkan atau pada kulit wajahnya yang putih gebu, tetapi perlu disatukan dengan layanan manis dan lemah lembut tutur kata seorang isteri.

Selain sentiasa melebarkan senyuman, isteri juga sebaiknya menggunakan tutur kata yang lemah lembut dan berbahasa halus. Bercakap dengan nada suara yang merendah dan perlu diam sekiranya perlu. Bijak apabila bertanya dan sekiranya perlu berkias, berkiaslah supaya tiada hati yang terluka.

Berbicara tentang masalah diri atau anak-anak bukan sewaktu suami baru balik daripada pejabat/ kantor, begitupun sewaktu suami sedang menikmati hidangan mahupun sewaktu di tempat tidur. Isteri yang bijak akan mencari masa yang sesuai untuk berbicara tentang masalah walaupun perlu mengambil sedikit masa. Di sinilah pula kita perlu menjadi seorang isteri yang sabar, bijak menganalisis keadaan dan bertindak di tempat dan pada masa yang betul.

Orang tua berpesan, layan perut suami dengan sebaik-baik hidangan, layanlah nafsu suami dengan sepuas-puas keinginan... yang pasti selepas segala keinginan dipenuhi, hati lapang dan fikiran tenang, isteri bolehlah berbicara tentang rasa yang tak kena atau meminta apa yang tiada. IsyaAllah... ketenangan tadi membolehkan suami berfikir dan membuat pertimbangan yang meredakan suasana. tidak semestinya permintaan tertunai segera tetapi suami pasti akan berusaha untuk memenuhkan impian kita.

Sebenarnya, apa yang hendak diperkatakan di sini ialah hubungan seks merupakan vaksin yang hebat dalam menambahkan keintiman dan kebahagiaan rumah tangga. Fikiran yang bercelaru akan dapat ditenangkan sekiranya hubungan seks suami isteri dijaga dengan baik. Selain itu terjadi hubungan dalamam ( chemistry) yang membina ikatan kukuh suami isteri dan suami atau isteri seolah-olah ada telepati apabila dirasai kedua-duanya dapat membaca fikiran masing-masing. Hal-hal yang sedemikianlah Islam mengkehendakkan si isteri melayan suami dalam apa saja keadaan untuk mengukuhkan rumah tangga dan tidak boleh menolak jika suami menginginkannya. Seorang isteri apabila menolak permintaan suaminya ia akan dikutuk oleh malaikat sehingga suaminya redha akan dirinya, kecuali dalam keadaan uzur atau dalam keadaan terlarang (haid).

Maka inilah kecantikan pada pandangan suami pada isteri dan begitu juga isteri kepada suami yang bijak melayan isteri itulah suami yang dapat dijadikan teman sepanjang kehidupan dan selepas kematian kita. InsyaAllah... amin.