Melancong memang kegemaran , lagi jauh berjalan lagi banyaklah pengalaman. Pengalaman yang dilalui bukan sekadar untuk melepaskan lelah setelah penat bekerja tetapi yang sebenarnya rasa seronok melihat  ciptaan   Allah.  Keindahan setiap negara yang dijelajah jelas membuktikan Allah Maha Pencipta. Berbalik kisah di Melbourne, sebuah  tempat bukannya tanah dihuni kaum Muslim, hal ini pasti menggusarkan pelancong yang baru menjejakkan kaki di sini terutama untuk mencari makanan halal. Bagi saya dan suami perkara ini tidak pernah menjadi masalah sebab kami tidak mencari nasi untuk mengalas perut, cukup dengan roti dan susu dan disulami buah-buahan yang segar sudah cukup memberi tenaga dan kepuasan untuk meneruskan perjalanan.
Selain itu, sebelum melancong ke sesebuah negara, kami akan menelaah situasi tempat yang dituju, selain mengenal pasti kemudahan tempat tinggal, kami juga akan mengenal pasti gerai halal yang terdapat di tempat  tersebut. Di Melbourne terdapat ramai pelajar Malaysia daripada pelbagai bangsa, dan ada antara rakyat Malaysia sudah bermastautin di sini dan membuka gerai makan, tidak ketinggalan warga Indonesia yang suka merantau. Maka dengan demikian terdapatlah gerai Minang/ Nasi Padang, gerai Norsiah dan pelbagai lagi gerai halal yang diusahakan oleh anak-anak Melayu dan Indonesia. Dingatkan bahawa tulisan Melayu/ Indonesia di papan-papan tanda gerai makan tidak semestinya halal. Jadi harus berhati-hati kerana gerai makan  ada antaranya  diusahakan oleh warga Indonesia bukan muslim ( China Indonesia) contohnya restoran Nelayan.  Selamat bercuti dan melancong.

No comments:
Post a Comment